Makluman Terkini !!!
Satu Tan Ikan Keli Diproses Masuki Pasaran Antarabangsa
KOTA BHARU: Malaysia akan mengeksport sekurang-kurangnya satu tan ikan keli yang siap diproses dan ditinkan seperti sardin ke pasaran antarabangsa termasuk Eropah dan Amerika Syarikat, mulai Ogos ini.
Timbalan Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ahamad Sabki Mahmood, berkata antara negara yang sudah menyuarakan kesediaan menerima eksport ikan itu termasuk India, Singapura, Australia, Eropah dan Amerika Syarikat.
"Kelantan akan menjadi pengeluar sardin ikan keli menerusi sebuah kilang memproses yang dijangka mengeluarkan hasil pertamanya mulai Ogos ini kira-kira satu tan sebulan untuk pasaran eksport terbabit.
"Ketika ini, sardin ikan keli terbabit sedang dipromosikan ke seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pertandingan masakan ikan air tawar sempena Hari Perkumpulan Perempuan Kelantan 2008, di sini, semalam. Hadir sama Pengarah Perikanan Kelantan, Abdullah Jaafar dan Pengerusi Pertubuhan Perempuan Kelantan (PPK), Datuk Paduka Tg Nor Asiah Tg Ahmad.
Seramai 19 ahli PPK dari seluruh negeri menyertai pertandingan itu dengan menampilkan pelbagai sajian berasaskan ikan air tawar terutama keli yang dipelbagaikan masakan seperti masam manis, asam pedas, cili api, singgang dan goreng berempah.
Ahamad berkata, industri perikanan negara mencatatkan keuntungan kira-kira RM300 juta menerusi eksport ikan segar dan diproses setiap tahun dan jumlah itu dijangka meningkat apabila ikan air tawar seperti keli turut mendapat pasaran peringkat antarabangsa.
"Sejak kementerian memperkenalkan beberapa program termasuk bumi hijau, kolam terbiar, tanah terbiar dan insentif kepada nelayan yang bertujuan meningkatkan pendapatan usahawan tani negara, nilai eksport negara turut meningkat.
"Industri perikanan boleh menjadi sumber pendapatan yang besar jika diusahakan menggunakan bioteknologi, sama ada menerusi ternakan ikan segar atau diproses sebelum dipasarkan secara meluas. Ketika ini, pendaratan dan pengeluaran ikan negara mencapai nilai antara RM4 bilion hingga RM12 bilion setahun," katanya.
Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, kementerian turut menyalurkan peruntukan RM400,000 untuk pelaksanaan projek bumi hijau bagi meningkatkan pendapatan petani miskin di Kelantan.
"Saya harap peruntukan itu boleh membantu ahli PPK untuk turut serta dalam ternakan ikan keli yang boleh dibuat di rumah kerana kita mahu menggalakkan mereka menjadi usahawan berjaya dengan bimbingan Jabatan Pertanian.
"Mereka hanya perlu menggunakan konsep ternakan ikan dalam kanvas atau sangkar yang boleh memberi keuntungan lumayan. Ikan keli itu bukan hanya boleh dijual segar, tetapi boleh dihantar ke kilang memproses untuk dijadikan bahan kosmetik dan ubat-ubatan," katanya.
dipetik dari http://alrijal76.multiply.com/journal/item/269
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan: