Makluman Terkini !!!
LPP Sasar Eksport 180 Tan Ikan Keli Ke China, Dubai
KOTA BHARU: Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) akan mensasarkan untuk mengeksport 180 tan atau kira-kira 720,000 ikan keli hidup dan beku sebulan untuk pasaran China dan Dubai, tahun ini.
Ketua Pengarah LPP, Datuk Abd Rahim Ahmad, berkata penerokaan pasaran antara bangsa ikan keli itu membuktikan produk tempatan kini mempunyai nilai komersial selain mendapat tempat di kalangan pengguna negara terbabit.
Katanya, eksport ikan keli itu akan dilakukan secara kerjasama dengan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan syarikat tempatan, Bani Tani Akuatik Sdn Bhd, yang bertindak sebagai pengedar ke pasaran terbabit.
“Syarikat tempatan itu menjadi pembeli kontrak yang bekerjasama dengan PPK yang membekalkan ikan keli, sebelum dipasarkan kepada dua pasaran berkenaan.
“Syarikat itu memerlukan 240,000 ikan keli hidup (60 tan) untuk pasaran China dan 480,000 ikan keli beku (120 tan) bagi pasaran Dubai yang akan direalisasikan melalui kerjasama dimeterai.
“Kejayaan ini akan menjadikan Bani Tani Akuatik, syarikat tempatan pertama di Pantai Timur atau mungkin di Malaysia menerokai pasaran ikan keli ke pasaran terbabit,” katanya.
Beliau memberitahu media selepas majlis perjanjian persefahaman (MoU) bagi pemasaran ikan keli antara PPK Tanah Merah dengan Bani Tani Akuatik di sini, semalam.
MoU itu ditandatangani oleh Pengerusi PPK Tanah Merah, Abdullah Nawi manakala Bani Tani Akuatik diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kassim Ahmad.
Perjanjian itu disaksikan Abd Rahim dan Pengarah LPP negeri, Shamsuddin Mat Rani. Ia bagi membolehkan PPK Tanah Merah membekalkan ikan keli kepada Bani Tani Akuatik untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.
Abd Rahim berkata, LPP akan mengembangkan kegiatan menternak ikan keli ke PPK lain di negeri ini dengan menjadikan PPK Tanah Merah sebagai payung industri berkenaan.
“LPP akan mengembangkan kegiatan ini kepada 20 PPK lain di negeri ini memandangkan ikan keli mempunyai nilai pasaran yang tinggi sama ada dalam negeri atau antarabangsa,” katanya.
Kassim berkata, eksport ke pasaran China dijangka bermula dalam masa terdekat ini dengan penghantaran pertama 15 tan seminggu ikan keli hidup untuk makanan di restoran negara itu.
Katanya, permintaan dijangka meningkat sehingga 60 tan sebulan di negara itu kerana mereka tidak mempunyai bekalan ikan keli, selain ia menjadi hidangan makanan kesihatan.
“Untuk pasaran Dubai, ia akan dimulakan April ini dengan membekalkan ikan keli yang sudah dibekukan dan permintaannya ialah empat tan sehari atau 120 tan sebulan.
“Pasaran Dubai juga menjadi landasan untuk menembusi pasaran Iraq yang dilihat mempunyai permintaan tinggi bagi bekalan makanan berasaskan ikan,” katanya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan: